Hari Pertama:
Jam
7.30 am
- Kami semua berkumpul di UM Sentral dengan membawa barang-barang keperluan masing-masing dan peralatan aktiviti-aktiviti yang akan digunakan sepanjang projek ini berlangsung di sekolah tersebut. Setelah itu, kami bertolak ke Stesen Universiti dengan menaiki pengangkutan bas rapid. Selain itu juga, kami menggunakan pekhidmatan awam iaitu LRT bagi menuju ke destinasi seterusnya iaitu Stesen Pudu Raya. Sebelum bertolak, kami makan di sebuah kedai berhampiran dengan stesen ini dan membeli beberapa makanan ringan untuk dimakan di dalam bas sekiranya sepanjang perjalanan kami berasa lapar.
Jam
9.00 am
- Kami bertolak dari Stesen Pudu menuju ke Kuala Kangsar dengan menaiki bas Transnasional. Perjalanan ke tempat tersebut mengambil masa selama 4 jam 30 minit. Sepanjang perjalanan, kami berasa sangat gembira, hal ini demikian kerana sebelum ini kami tidak pernah menaiki bas bersama-sama yang melibatkan perjalanan yang jauh, maklumlah kami baru sahaja mengenali ahli kumpulan ini. Di samping itu juga, kami berbual dan berbincang tentang aktiviti yang akan dijalankan di sana bagi melicinkan perjalanan program jalinan masyarakat di sekolah tersebut. Kami turut membaca maklumat-maklumat berkaitan dengan eksperimen yang akan dijalankan pada hari sabtu ini supaya aktiviti ini berjalan lancar. Setelah penat, kami terlena sehingga dibuai mimpi di dalam bas dan kami tertidur sehinggalah sampai ke destinasi yang ingin kami tuju iaitu Kuala Kangsar Perak.
Jam
1.30 pm
- Kami tiba di stesen bas Kuala Kangsar dan mengambil teksi untuk terus ke tempat penginapan yang telah disediakan oleh antara salah seorang keluarga ahli kumpulan kami. Di sana, kami rehat dan makan bagi memperolehi tenaga untuk meneruskan aktiviti pada sebelah petang di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom tersebut.
Jam
3.00 pm hingga 6.00 pm
- Para pelajar tingkatan empat dan lima mula mendaftar nama di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom. Sesi pendaftaran pelajar ini berlangsung selama satu jam. Selepas pendaftaran , para pelajar dikumpulkan di dalam dewan tersebut. Aktiviti ice breaking dimulakan dengan ucapan kata alu-aluan oleh guru kaunseling. Ketua kumpulan kami telah menerangkan serba sedikit sebanyak mengenai pengenalan projek dan objektif projek ini kepada para pelajar. Selepas itu, aktiviti diteruskan lagi dengan pengenalan oleh setiap orang pelajar Universiti Malaya. Kami meneruskan lagi aktiviti pada waktu petang tersebut dengan beberapa aktiviti yang melibatkan beberapa kumpulan para pelajar yang di mana boleh mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pelajar sekolah dan kami. Di samping itu juga, setiap pelajar di dalam kumpulan tersebut dikehendaki memperkenalkan diri masing-masing. Aktiviti pada waktu petang pada hari tersebut telah tamat pada jam enam petang.
Jam
6.00 pm hingga 8.00 pm
- Pada waktu ini, kami dan juga para pelajar diberikan masa selama dua jam untuk berehat dan solat bagi pelajar muslim. Di samping itu juga, kami semua dapat menghilangkan rasa keletihan ketika mengendalikan aktiviti pada waktu petang tadi.
Jam
8.00 pm hingga 11.00 pm
- Pada malam tersebut , projek pameran telah diadakan. Projek pameran ini adalah sub-projek kami untuk memberi sumbangan kepada pihak sekolah dengan cara menghias beberapa lokasi di dalam sekolah tersebut. Kami telah menggunakan ruang tersebut dengan menerangkan beberapa info menarik mengenai subjek kimia. Barang-barang untuk menghias beberapa kawasan di sekolah tersebut juga turut telah disediakan oleh pihak sekolah. Para pelajar juga turut terlibat untuk merealisasikan aktiviti ini. Secara tidak langsung, para pelajar dapat menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada tentang subjek kimia. Pihak sekolah turut telah menyediakan makanan pada waktu malam untuk kami. Kami menjamu selera sambil membuat dan menyiapkan projek pameran ini. Kami saling tolong menolong antara satu sama lain bagi menghasikan idea yang bernas untuk digunakan dalam projek pameran tersebut. Kami berasa sungguh gembira apabila dapat mengenali lebih mendalam dengan para pelajar tersebut. Aktiviti pada waktu malam ini berakhir pada jam 11.00 pm.
Hari Kedua:
Jam
8.00 am hingga 12.00 pm
- Aktiviti pada waktu pagi dimulakan dengan ceramah “Motivasi pelajar dan kesedaran diri pra SPM”. Ceramah ini lebih tertumpu kepada pelajar tingkatan lima yang akan menghadapi SPM tidak lama lagi. Tujuan motivasi ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar terhadap kepentingan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada masa depan kelak terutamannya kepada pelajar yang akan menghadapi SPM pada tahun ini untuk menentukan universiti dan jurusan mana yang akan mereka akan ambil untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kami berharap dengan adanya program ceramah ini, para pelajar akan lebih bersemangat untuk terus maju pada masa depan.
Jam
12.00 pm hingga 1.30 pm
- Setelah tamat aktiviti ceramah tersebut, para pelajar disegarkan lagi dengan aktiviti Refreshing. Refreshing adalah salah satu aktiviti berbentuk tarian yang boleh menyegarkan kembali minda pelajar. Antara tarian yang kami ajar dan buat bersama-sama para pelajar ialah “Gummy Bear” , “Xi Shua Shua” dan sebangainya. Sebelum kami mengajar tarian ini kepada para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom, kami iaitu pelajar UM sendiri mengambil inisiatif terlebih dahulu untuk berlatih tarian ini sebulan lebih awal bagi memastikan kami semua mahir dan menghafal langkah-langkah dalam tarian tersebut. Hal ini akan memudahkan lagi untuk mengajar tarian ini kepada para pelajar sekolah tersebut. Sebenarnya tarian ini akan kelihatan comel dan bersemangat jika tarian ini dilakukan bersama-sama dengan bersungguh-sungguh dan penuh semangat.
Jam
1.30 pm hingga 2.00 pm
- Para pelajar diberikan masa selama 30 minit untuk rehat, makan dan solat bagi pelajar muslim sebelum meneruskan lagi aktiviti pada sebelah petang iaitu “Amali Kimia”.
Jam
2.00 pm hingga 4.00 pm
- Aktiviti pada waktu petang ialah “Amali Kimia”. Para pelajar telah dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada dua kumpulan tingkatan empat dan dua kumpulan tingkatan lima. Mereka ini akan membuat amali kimia yang berkaitan dengan sukatan pelajaran. Setiap kumpulan akan dikendalikan oleh dua atau tiga orang pelajar UM sambil dipantau oleh guru sekolah mereka. Di dalam aktiviti ini, pelajar akan diterangkan mengenai peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap orang ketika memasuki makmal kimia ataupun ketika sedang membuat amali. Di samping itu, para pelajar juga turut akan ditunjukkan cara penggunaan alat radas yang betul supaya tiada musibah yang akan menimpa kepada mereka ini nanti ketika mengendalikan eksperimen di dalam makmal kimia. Kami juga berharap para pelajar akan mempraktikkan informasi-informasi penting yang diberikan oleh kami ketika membuat amali kimia sama ada di peringkat sekolah, universiti ataupun ke peringkat yang lebih tinggi. Amali kimia ini dijalankan selama dua jam.
Jam
4.00 pm hingga 6.00 pm
- Selepas aktiviti amali kimia, para pelajar akan melakukan aktiviti secara berkumpulan. Antara aktiviti yang kami lakukan ialah permainan Boom Boom Chaki Chaki, China Boom, Ombak dan sebagainya. Aktiviti ini dimainkan secara berkumpulan yang memerlukan kerjasama dan komitmen antara ahli kumpulan. Di samping itu, melalui aktiviti ini, para pelajar dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Apabila para pelajar sudah mahir akan permainan ini, hal ini akan membuatkan permainan ini akan lebih seronok. Suasana di dalam dewan sekolah tersebut dipenuhi dengan sorakan, jeritan, dan gelak ketawa para pelajar. Mereka sungguh gembira pada petang itu walaupun mereka sudah kepenatan setelah membuat amali kimia sebelum aktiviti ini berlangsung.
Jam
6.00 pm hingga 11.00 pm
- Aktiviti projek pameran tetap diteruskan lagi pada waktu ini. Kami menyambung semula kerja-kerja pameran yang hanya mampu disiapkan hampir 50% pada hari semalam. Kami saling bantu membantu untuk menyiapkan projek ini supaya dapat menyiapkan hasil projek pameran pada waktu yang tepat. Setiap orang menyumbangkan idea-idea yang kreatif bagi menjayakan projek pameran kami ini. Walaupun setiap orang daripada kami kelihatan agak penat, kami tetap meneruskan aktiviti ini sehingga selesai. Hal ini menunjukkan kumpulan kami mempunyai semangat berpasukan yang kuat.
Pada Hari Ketiga:
Jam
8.00 am hingga 11.00 am
- Aktiviti pada waktu pagi dimulakan dengan sesi pengenalan mengenai Universiti Malaya. Para pelajar didedahkan dengan serba sedikit tentang Universiti Malaya. Di samping itu, para pelajar juga turut didedahkan dengan jurusan sains kimia yang ditawarkan di Fakulti Sains Universiti Malaya. Kami menceritakan kepada para pelajar tentang kelebihan yang diperolehi pada masa akan datang jika mengambil jurusan kimia ini. Hal ini demikian kerana dapat menimbulkan daya tarikan atau minat mereka untuk mengambil jurusan ini terutamanya di Universiti Malaya. Selain itu, kami juga memberitahu mereka cara untuk memohon Universiti Malaya secara atas talian di laman “UPU”. Perkara ini memudahkan dan memberi kelebihan kepada para pelajar lepasan SPM untuk memohon universiti ini bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sama ada asasi, ijazah dan sebagainya. Kami berharap segala ilmu atau maklumat yang diberikan kepada para pelajar akan berguna kepada mereka pada suatu hari nanti. Kami juga memberi peluang kepada para pelajar untuk bertanya sekiranya terdapat perkara-perkara yang mereka tidak fahami.
Jam
11.00 am hingga 3.00 pm
- Acara diteruskan lagi dengan aktiviti “Refreshing”. Setelah kami mengajar dan melatih para pelajar tentang tarian tersebut pada hari semalam, kami sudah pasti para pelajar dapat mengingati atau menghafal langkah-langkah yang terdapat dalam tarian tersebut. Dengan itu, tarian ini akan kelihatan kemas, cantik dan seragam. Aktiviti Refreshing ini mengambil masa selama dua jam. Selepas daripada itu, majlis perpisahan dan penutupan telah diadakan. Majlis ini dimulakan dengan ucapan kata alu-aluan oleh pihak pengetua sekolah dan diikuti oleh ucapan daripada ketua kumpulan kami. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana membenarkan kumpulan kami menjalankan projek jalinan masyarakat di sekolah ini. Seterusnya, wakil ketua kumpulan kami telah menyampaikan saguhati ataupun hadiah kepada pihak sekolah. Di samping itu juga, pihak sekolah juga turut telah menyampaikan hadiah kepada semua pelajar Universiti Malaya. Kami juga berharap segala sumbangan yang diberikan oleh kami amat dihargai oleh pihak sekolah. Akhir sekali, kami mengiringi pengetua sekolah untuk meninjau ke kawasan projek pameran yang telah kami hiaskan dengan cantik untuk melihat hasil kerja kami. Semua kenangan manis yang telah tercipta di antara kami dan pelajar sekolah ini akan terpahat dalam ingatan kami. Kami juga mengadakan sesi bergambar bersama pihak sekolah dan para pelajar sebagai tanda kenangan.
Jam
5.00 pm
- Kami pulang ke Universiti Malaya dengan menaiki bas Transnasional di Stesen Kuala Kangsar. Maka berakhirlah projek jalinan masyarakat bersama para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom pada kali ini. Goodbye Kuala Kangsar dan selamat berjumpa lagi.
TAMAT
































































































































