Pages

Monday, May 25, 2015

OBJEKTIF, KEPENTINGAN DAN MASALAH SEPANJANG PROJEK

  • OBJEKTIF PROJEK
         Objektif utama projek ini dilaksanakan adalah untuk membimbing pelajar untuk melaksanakan amali Sains Kimia dengan berjaya. Pelajar-pelajar diberi peluang untuk nenjalankan amali secara berkumpulan tanpa bantuan guru. Kami berperanan sebagai pembantu mereka yang bertanggungjawab untuk memerhatikan tingkah laku mereka semasa menjalankan amali. Selain itu, kami juga memberi cadangan kepada mereka supaya mereka dapat menjalankan amali dengan cara yang tepat dan efisien. Tambahan pula, kami juga menerangkan cara-cara mahasiswa dan mahasiswi menjalankan amali di makmal. Pada dasarnya, kami ingin mendorong mereka menjalankan amali dengan bersungguh-sungguh dan lebih berdikari.

Objektif seterusnya projek ini adalah untuk menerangkan dan menjelaskan bahan media yang dapat dipamerkan di sekolah dengan bantuan guru kimia, guru pusat sumber sekolah dan barisan pelajar Universiti Malaya. Dalam hal ini, kami telah membuat sebuah ‘Jadual Berkala’ dan dipaparkan pada dinding tepi tangga. Kami turut menghasilkan beberapa model yang lazimnya pelajar Sains belajar semasa berada di Tingkatan 4, contohnya, ‘Model Dalton Atom’. Padahal, kami ingin pelajar-pelajar diinspirasi untuk belajar dengan lebih tekun dan berusaha serta memupuk minat terhadap mata pelajaran Sains, terutamanya mata pelajaran Kimia sejak sekarang.

  • KEPENTINGAN PROJEK 
       Kepentingan utama projek ini dijalankan adalah untuk mendedahkan kehidupan mahasiswa dan mahasiswi di universiti kepada pelajar-pelajar sekolah menengah Pada dasarnya, kunjungan kami ke sekolah menengah ini dapat merangsang mereka untuk mengalami kehidupan mahasiswa dan mahasiswi pada masa depan. Kami telah berkongsi pengalaman kami dengan mereka dan kami dapat mengetahui tahap kecenderungan mereka untuk masuk ke universiti. Dalam hal ini, kami dapat menjalankan program yang dapat memanfaatkan mereka dan kita juga memberi sumbagan yang bernilai kepada mereka merangsang mereka agar dapat menyambung pelajaran ke menara gading. Melalui projek ini, pelajar-pelajar sekolah menengah dapat memperoleh suntikan baru untuk masuk ke universiti pada masa depan. Mereka dapat mengetahui cara-cara hidup dan cara-cara mahasiswa dan mahasiswi belajar di universiti yang jauh ketara daripada amalan mereka semasa di sekolah menengah.

               Kepentingan seterusnya projek ini adalah untuk berkongsi pengalaman kami sebagai pelajar Sains dengan mereka. Kami berpeluang untuk berkongsi cara-cara menjalankan eksperimen di universiti dan kami juga berusaha untuk menunjuk ajar mereka supaya mereka dapat menjalankan eksperimen dengan cara yang lebih tepat dan efisien. Semasa eksperimen dijalankan, kami juga berinteraksi dengan mereka, sebagai contoh, kami berkongsi dengan mereka tentang kesilapan-kesilapan yang lazimnya dilakukan oleh pelajar di makmal. Sementara itu, kami juga berkongsi cara-cara memahami konsep sukatan mata pelajaran Kimia dengan senang dan menggalakkan mereka supaya menguasai mata pelajaran ini dengan bersungguh-sungguh. Kami juga memberi sumbangan setakat keupayaan kami kepada pihak sekolah sebagai untuk merangsang pelajar agar menguasai mata pelajaran ini dengan mantap, contohnya, kami menghasilkan ‘Jadual Berkala’ yang besar yang dilekatkan pada dinding tangga untuk kebajikan pelajar.
                Sehubungan itu, projek ini turut bertujuan membantu pelajar mengurangkan tekanan belajar.Pelajar sekolah menengah menghadapi pelbagai tekanan sama ada daripada pihak sekolah mahupun keluarga mereka. Dalam hal ini, kami telah menjalankan pelbagai aktiviti yang dirancang untuk membantu pelajar-pelajar menghilangkan tekanan semasa belajar. Sebagai contoh, kami mengajar mereka menari, membuat ‘Cheers’ dan aktiviti berkumpulan. Matlamat aktiviti ini dijalankan bukan sahaja untuk menghilangkan tekanan pelajar belajar, malahan kami juga ingin mengeratkan hubungan persahabatan antara pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, iaitu pelajar yang melibatkan diri sepanjang program dijalankan. Padahal, mereka memberi komitmen yang tinggi sepanjang program dijalankan dan kami juga dapat merasai kegembiraan mereka semasa mengambil bahagian dalam program yang kami jalankan.
                Di samping itu, projek ini juga dapat meningkatkan nama universiti dari pandangan guru-guru dan pihak sekolah. Dalam hal ini, kami dapat menjalankan segala aktiviti yang telah dirancangkan sebelum kami bertolak tanpa diiringi guru penasihat. Kami juga dapat memberi sumbangan atas kemampuan kami dapat menghasilkan ‘produk’ kami dalam tempoh masa yang singkat sebagai sumbangan kepada pihak sekolah. Selanjutnya, kami juga menjalankan pelbagai aktiviti untuk berinteraksi dengan pelajar-pelajar tanpa bantuan guru. Projek ini penting dan bermakna kerana keyakinan menyampaikan idea kami sendiri di hadapan orang ramai dapt ditingkatkan. Ketrampilan kami untuk berucap di hadapan orang ramai juga meningkat.

  • MASALAH/ISU YANG DIHADAPI DAN CARA PENYELESAIAN
          

   Masalah utama yang dihadapi ialah masalah kesuntukan masa. Kami menghadapi masalah kesuntukan masa untuk merancangkan aktiviti yang sesuai dijalankan di sekolah sana dengan mempertimbangkan kebajikan pelajar-pelajar di sekolah sana. Pada peringkat awal, kami telah merancang beberapa aktiviti dan kami juga menghantar rancangan kami kepada pihiak sekolah di sana, tetapi rancangan kami terpaksa dibantahkan. Hal ini adalah disebabkan rancangan awal kami tidak dapat memaparkan identiti kami sebagai pelajar Sains, dari Jabatan Kimia. Kami juga diberi tarikh tertentu untuk melawati sekolah tersebut sedangkan tarikh tersebut adalah cuti pertengahan semester. Memandangkan masa semakin berdekatan, kami sekumpulan ahli berbincang untuk mendapat cara penyelesaian terbaik. Kami bertekad menukar aktiviti yang telah kami rancangkan kepada aktiviti yang sepatutnya dijalankan di sekolah sana dengan berbincang dengan pihak sekolah di sana. Tambahan pula, kami juga terpaksa menghabiskan cuti pertengahan semester lebih awal untuk menjalankan projek ini dalam tempoh masa yang ditetapkan walaupun banyak ahli daripada kumpulan kami turut sibuk mengambil bahagian kem pada masa yang sama. Atas toleransi ahli kumpulan, akhirnya kami berjaya menjalankan tugasan kami dengan sempurna di sekolah sana. 

Masalah yang turut kami hadapi ialah kekurangan pengangkutan. Kami terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk sampai ke sekolah tersebut dari rumah salah seorang ahli kumpulan. Kesukaran mencari kenderaan ke sekolah sana telah menyebabkan kami hampir lewat ke sekolah.  Kekurangan kenderaan pengangkutan awam ke sekolah menyulitkan pergerakan kami. Jutaan terima kasih diucapkan kepada ahli keluarga ahli kumpulan kami yang sanggup menjadi pemandu kereta sepanjang program kami dijalankan di sekolah sana untuk melicinkan program kami.
Masalah seterusnya ialah masalah bahasa pengantar yang digunakan. Walaupun kami berada di sekolah menengah yang menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, namun Bahasa Melayu digunakan untuk mata pelajaran Kimia. Ekorannya, kami yang belajar mata pelajaran ini dengan Bahasa Inggeris terpaksa menerangkan konsep tertentu dan menjawab persoalan mereka dalam Bahasa Melayu sedangkan istilah-istilah tertentu tidak dapat kami terjemah dalam Bahasa Melayu. Dalam hal ini, kami terpaksa menerangkan konsep tertentu dengan teliti dan menggunakan gambar untuk menjelaskan persoalan mereka.
Masalah sambutan pelajar yang kurang memuaskan turut menjejaskan kelicinan projek dijalankan.  Bilangan pelajar yang mengambil bahagian sepanjang projek ini dijalankan adalah amat kurang daripada bilangan yang disangka sebelum kami bertolak. Bilangan pelajar yang kurang menyebabkan sebahagian aktiviti yang dicadangkan tidak dapa memperoleh sambutan yang meriah daripada pelajar-pelajar. Dalam hal ini, kami bertekad untuk berinteraksi dengan pelajar-pelajar dengan hati yang ikhlas walaupun bilangan pelajar yang hadir tidak memuaskan. 


  • PERANCANGAN MASA HADAPAN BERKAITAN PROJEK YANG SEDANG DIJALANKAN

Antara perancangan masa hadapan berkaitan projek jalinan masyarakat ini ialah walaupun projek ini telah selesai, kami berharap dapat menjalankan lagi aktiviti-aktiviti seperti ini yang melibatkan masyarakat sekeliling. Hal ini demikian kerana aktiviti jalinan masyarakat ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain di samping dapat menolong orang yang mengalami kesusahan. Aktiviti ini mestilah melibatkan pelbagai kaum sama ada mereka adalah dalam kalangan orang miskin dan kaya, anak yatim, pelajar sekolah dan sebagainya supaya mereka dapat mengenali antara satu sama lain seterusnya dapat mewujudkan kasih sayang dan keharmonian dalam negara. Selain itu juga, projek jalinan masyarakat kami yang memfokuskan kepada pelajar sekolah tersebut kerana ingin menanam minat para pelajar untuk menyambung pelajaran ke Universiti Malaya dan mengambil jurusan sains kimia. Di samping itu juga, tujuan utama projek ini dijalankan ialah untuk memberi kesedaran kepada para pelajar untuk belajar secara bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita yang mereka inginkan. Kami berharap para pelajar akan berjaya dalam hidup mereka.